Tuesday, February 28, 2012

Mahar...


Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat-sahabat baginda dan semua orang yang mengikuti jejak mereka.
Bagi memulakan perbincangan, marilah kita renungi firman ALLAH SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 4 iaitu yang maksudnya :-

  " Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari maskawin itu dengan senang hati, Maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya."

Mahar atau maskahwin membawa erti perbelanjaan atau pemberian seumpama wang atau lain-lain yang berfaedah, yang wajib diberi atau dibayar oleh pihak lelaki kepada pihak wanita yang ingin dikahwininya. Setiap akad perkahwinan mestilah mempunyai mahar (mas kahwin) dalam bentuk benda yang bernilai walaupun kecil atau faedah dan manfaat yang diberikan oleh suami kepada isterinya kerana akad perkahwinan.
Dari segi hukum; firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 4; seperti yang dinyatakan di atas, dengan jelas menyatakan kewajipan pemberian mahar atau mas kahwin oleh pengantin lelaki kepada bakal isterinya disebabkan berlakunya akad nikah. Manakala Rasulullah SAW pula menyatakan melalui hadis riwayat Ibnu Majah bahawa; “ Perkahwinan adalah sunnahku. Sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku, maka dia bukanlah umatku.
Manakala dari segi undang-undang pula; Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004, Seksyen 21 pula tidak memberi istilah atau makna kepada perkataan tersebut sebaliknya memberi takrif dengan menyatakan bahawa mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya dihadapan orang yang mengakadnikahkan itu dan sekurang-kurangnya dua saksi lain.
 
Berdasarkan kepada nas-nas yang terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran, al-Hadis dan undang-undang semasa yag digunapakai, maka jelaslah dan dapat difahamkan kepentingan mahar atau mas kahwin kepada institusi perkahwinan di sisi Islam.

No comments: