Friday, March 2, 2012

Harta Pusaka Khunsa Musykil – Bahagian 1



hari ini teman nak berkongsi mengenai kedudukan khunsa dalam pewarisan harta pusaka. Teman rasa ramai yang tidak terfikir akan isu ini kecuali ada ahli keluarga mereka yang mempunyai gender tersebut. Untuk memahami isu ini, elok rasanya teman mulakan dengan memberi definisi khunsa musykil itu sendiri dari sudut bahasa.

Khunsa bermaksud berpisah dan bercerai atau menyerupai sesuatu manakala Musykil pula daripada segi bahasa bermaksud meragukan.

Menurut istilah feqah; khunsa musykil bermaksud “ seseorang yang memiliki alat jantina lelaki dan alat jantina wanita atau seseorang yang memiliki satu lubang yang tidak menyerupai mana-mana alat jantina dimana air kencing keluar melaluinya.”

Jenis-jenis Khunsa

Terbahagi kepada dua iaitu Khunsa Musykil & Khunsa Bukan Musykil.

Khunsa Bukan Musykil ialah seseorang yang jelas sifat kelakiannya atau jelas sifat kewanitaannya. Contohnya, jika berkahwin, dia boleh menghamilkan isterinya. Dengan itu, dia adalah lelaki yang sebenar. Ataupun jika berkahwin, dia boleh hamil dan melahirkan anak. Dengan itu dia adalah perempuan yang sebenar.

Khunsa musykil pula ialah orang yang tidak jelas kelelakian atau kewanitaannya.

Ulamak menyebut beberapa cara untuk mengenali kelelakian atau kewanitaan seseorang walaupun setelah ia mencapai umur baligh. Jika dia mengeluarkan mani, dia adalah lelaki dan apabila dia mengeluarkan haid, dia adalah perempuan. Menurut kebiasaan, jika dia lebih suka kepada perempuan. maka dia adalah lelaki dan sebaliknya. Jika kaedah perubatan moden gagal untuk menentukan jantina khunsa musykil, dengan itu dia masih khunsa musykil.

Inshaallah, di lain kesempatan, teman nak berkongsi pula mengenai hukum khunsa musykil dalam pewarisan harta pusaka.

No comments: